ABPBH: Medan kempen artis
Laman sosial ABPBH tarik perhatian ramai peminat
KEWUJUDAN laman sosial facebook dan twitter bukan saja memberi impak kepada individu, malah kewujudannya turut dimanfaatkan Berita Harian (BH) sempena penganjuran Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010.
Laman www.facebook.com/abpbh yang baru diwujudkan nampaknya mempunyai jumlah pengikut yang meningkat dengan pantas. Sehingga semalam, seramai 1,485 pengguna menggemari laman ini.
Kewujudan laman interaktif itu juga nampaknya mendekatkan lagi pihak penganjur dengan pengikut anugerah ini apabila peminat industri seni tanah air menjadikannya sebagai medan untuk mereka memberi cadangan, meluahkan rasa hati, malah tidak kurang juga yang berkempen untuk artis kegemaran masing-masing.
Ketika yang sama, ramai juga peminat yang menjadikan laman ini sebagai medan perdebatan. Antaranya, peminat penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Siti Nurhaliza yang mewujudkan topik mengenai kewajaran penyanyi itu mengundur diri daripada bertanding pada anugerah berprestij ini. Ternyata ramai yang kurang bersetuju dengan tindakan penyanyi itu, dan tidak kurang yang akur dengan keputusan Siti.
Sekalipun Siti sudah menyatakan hasrat untuk mengundur diri, namun peminat penyanyi kebanggaan negara itu tidak mahu hubungan Siti dengan anugerah ini berakhir begitu saja. Jika tidak mahu bertanding sekali pun, sekurang-kurangnya mereka mencadangkan supaya Siti diberi peluang mengadakan persembahan pada malam kemuncak ABPBH 2010 yang bakal berlangsung 3 April nanti, bertempat di Arena Of Stars, Genting Highlands.
Selain Siti, beberapa nama lain yang turut dicadangkan mengadakan persembahan pada malam kemuncak ialah tiga bintang kelahiran Akademi Fantasia, Adira, Shahir dan Aril. Artis lebih senior seperti Erra Fazira dan Ziana Zain juga dipilih sebahagian peminat untuk memeriahkan segmen persembahan pada malam berkenaan.
Bagi calon pengacara pula, nampaknya nama Zizan Raja Lawak menjadi pilihan utama kebanyakan pengikut laman ini. Ramai yang mencadangkan supaya Zizan digandingkan dengan temannya, Johan atau pun Raja Azura. Nama lain yang turut disebut sebagai pengacara ialah Sharifah Shahira, Aznil Nawawi, Salleh Yaacob dan Angah Raja Lawak.
Laman ini juga, seakan-akan memberi bayangan siapakah artis yang bakal bergelar pemenang untuk kategori tertentu. Dua bakat baru, Adira dan Shahir dilihat mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi trofi ABPBH 2010. Ini kerana nama mereka paling menjadi sebutan di kalangan peminat, malah ada sebahagiannya yang meletakkan gambar profil mereka dengan gambar kedua-dua bintang muda ini untuk menunjukkan betapa minatnya mereka kepada dua penyanyi ini.
Siapa tahu biarpun belum setahun bergelar anak seni, Shahir dan Adira mungkin mempunyai peluang cerah untuk dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular. Mawi dan Nabil pernah melakukannya tidak lama dulu, jadi tidak mustahil keadaan yang sama berulang lagi.
Tapi perlu diingatkan, jangan sekadar sibuk berkempen di facebook tetapi tidak berusaha mengundi di borang undian rasmi yang dipaparkan setiap hari dalam BH dan Berita Minggu jika mahu artis kegemaran anda memasuki senarai Top 5. Jangan nanti menang sorak kampung pula yang tergadai, dan jangan pula salahkan pihak penganjur jika artis kegemaran anda tidak membawa pulang sebarang trofi.
Sementara itu, kemenangan artis pada sesebuah anugerah yang berlangsung sebelum ABPBH dilihat turut memainkan peranan besar dalam memastikan nama artis itu turut melekat pada senarai Top 5, seterusnya menjulang trofi.
Lalu, mungkinkah juga kemenangan Lisa Surihani pada Festival Filem Malaysia ke-23 yang baru berlalu akan mempengaruhi undian peminat? Nama Lisa juga nampaknya turut menjadi sebutan di kalangan peminat untuk memenangi kategori Pelakon Filem Wanita Popular. Malah, ada peminat yang sudah siap dengan senarai top 5 sendiri yang meletakkan nama Lisa Surihani bakal bersaing dengan Erra Fazira, Ziana Zain, Scha Al Yahya dan Liyana Jasmay.
Nama kumpulan Hujan, Yuna, Faizal Tahir, Fara Fauzana, Farid Kamil, Shaheizy Sam juga tidak kurang menjadi sebutan peminat. Untuk mengetahui mampukah mereka ini membolosi senarai Top 5, terus setia mengikuti perkembangan terkini ABPBH di laman sosial FB, twitter dan juga ruangan hiburan Hip. Selamat mengundi.
Source: Berita Harian








