Bandar Kuala Terengganu Bakal Bertukar Wajah
KUALA TERENGGANU, 2 Okt (Bernama) — Kerajaan negeri sedang berusaha merubah wajah Kuala Terengganu sesuai dengan kedudukannya sebagai sebuah ibu negeri, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri telah membayar deposit sebanyak RM66 juta sebagai proses pengambilan balik tanah kepada Pejabat Tanah.
“Kita hendak bangunkan bandar Kuala Terengganu yang sebenarnya,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.
Ahmad berkata setakat ini, kerajaan negeri sudah menyelesaikan pemgambilan balik tanah di kawasan Ladang Tok Pelam, dan bayaran pampasan kepada mereka yang terlibat sudah dibuat.
Katanya, penduduk yang terlibat dengan pengambilan balik tanah di kawasan berkenaan telah berpindah ke flet Ladang Gemilang, manakala rumah di kawasan itu dirobohkan.
Beliau berkata pengambilan balik tanah seterusnya ialah di kawasan Kampung Ladang sehingga Kampung Tanjung Astaka, yang akan dilakukan dalam masa terdekat.
Katanya, mulai tahun depan, kerajaan akan membina kedai, rumah kediaman serta bangunan lain dalam bandar itu supaya lebih selesa dan sedap mata memandang.
Ahmad berkata pembangunan bandar Kuala Terengganu yang akan dilaksanakan kerajaan negeri juga sesuai dengan kedudukannya sebagai sebuah bandar raya pesisir air.
Source: BERNAMA








