Khusrin Akan Teruskan Tugas Sebagai SUK Selagi Tiada Arahan Dari JPA

Posted on the January 3rd, 2011 under Berita Tempatan by Pinvader

  • Share
  • Share

SHAH ALAM: Datuk Mohamad Khusrin Munawi berkata beliau akan meneruskan tugasnya sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor yang baru selagi tiada arahan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk ditukarkan ke peringkat kerajaan pusat.

Mohamad Khusrin berkata beliau akan menjalankan tugasnya itu meskipun pelantikannya ke jawatan SUK oleh kerajaan pusat ditentang oleh kerajaan negeri Selangor.

“Saya ingin menegaskan di sini bahawa sebagai penjawat awam, saya tahu peraturan dan tahu apa yang saya boleh dan apa yang tidak boleh dibuat oleh seorang penjawat awam.

“Saya akan buat kerja mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada selagi tiada arahan selanjutnya dari JPA. Kalau hari ini saya diarahkan pergi (oleh JPA), saya akan pergi…tiada masalah,” katanya pada sidang media yang penuh sesak dengan wartawan di pejabatnya di Bangunan SUK di sini, Isnin.

Pelantikan Mohamad Khusrin sebagai SUK baru mencetuskan kontroversi baru-baru ini apabila Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilaporkan berkata pelantikan itu belum muktamad kerana beliau tidak pernah dimaklumkan mengenainya.

Kenyataan itu dikeluarkan ekoran pengumuman pelantikan Mohamad Khusrin, bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebagai SUK berkuatkuasa 1 Januari lepas oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Hari ini, Abdul Khalid menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Mestika di sini bagi mengemukakan nama tiga calon yang dipilih oleh sebuah panel kerajaan negeri yang dipengerusikan Speaker Dewan Undangan NegeriDatuk Teng Chang Khim bagi jawatan SUK.

Menteri Besar berkata sehingga penyelesaian muktamad dicapai antara Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan kerajaan negeri, majlis angkat sumpah Mohamad Khusrin sebagai SUK tidak akan diadakan dan Mohamad Khusrin tidak akan hadir pada sebarang Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Majlis Tindakan Ekonomi Negeri.

Mohamad Khusrin turut melahirkan rasa kesalnya sebab menjadi bahan tohmahan dan fitnah sesetengah pihak dalam urusan pelantikannya sebagai SUK yang baru.

Katanya beliau tidak menghadapi masalah untuk bekerja dengan Menteri Besar dan “tidak akan memaksa mana-mana orang yang tidak sehaluan dengannya” untuk menerimanya.

Beliau berkata juga tidak menjadi masalah kepadanya jika Menteri Besar tidak membenarkannya menghadiri Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ataupun Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor sebagai ex-officio.

“Saya hanya melaksanakan polisi dan keputusan yang dibuat Exco. Saya tahu saya tidak boleh mempengaruhi mana-mana keputusan yang dibuat di peringkat Exco,” katanya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Pentadbiran Perniagaan. – BERNAMA

fivefilters.org/content-only/faq.php
Five Filters featured site: So, Why is Wikileaks a Good Thing Again?.

Source: mStar

Related News:

Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,