Pantai luncur
Cherating jadi pilihan bermain ombak, bakal lahirkan jagoan dunia
BERHUJUNG minggu sambil meluncur ombak mampu menghilangkan tekanan terutama kepada warga kota yang sering dihimpit bebanan tugas harian dan hingar-bingar bandaraya.
Bagaimanapun, mencari lokasi untuk meluncur bukan sesuatu yang mudah terutama kepada mereka yang baru hendak berjinak-jinak dengan aktiviti yang sering dianggap sukan ‘mahal’ oleh segelintir pihak.
Di pantai timur misalnya, biarpun aktiviti luncur ombak sudah bermula di pantai Cherating, kira-kira 50 kilometer dari Kuantan sejak era 1970-an, sukan ini lebih dekat di hati pelancong atau peluncur asing berbanding orang tempatan.
Namun, zaman berubah dan sejak 10 tahun lalu, pantai ini digelar ‘Syurga Peluncur’ dengan aktiviti luncur ombak berlangsung setiap kali tibanya monsun menjelang akhir tahun mulai Disember hingga Mac.
Kolum 48 jam minggu ini membawa pembaca mengikuti aktiviti luncur ombak yang disertai warga kota sempena Festival Luncur Ombak 2010 yang dianjurkan Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Pahang.
Sempena festival itu, penulis bersama 15 rakan media tempatan dan Kuala Lumpur, berpeluang melakukan pelbagai aktiviti seperti klinik luncur ombak, pakej lawatan ke hutan paya bakau, melawat pusat kraftangan, menjamu selera di gerai ikan bakar serta membeli pelbagai barangan cenderamata untuk dibawa pulang.
Paling mengujakan, ahli rombongan berpeluang melakukan aktiviti luncur ombak buat pertama kali dan masing-masing mempamerkan aksi ‘gila-gila’ selama dua hari mengikuti klinik luncur ombak yang dikendalikan jurulatih berpengalaman, Helmi Khalil dan Mohd Nazri Mohamad.
Ikuti catatan ini…
Sabtu
8 pagi : Penulis menikmati sarapan pagi, sebungkus nasi lemak, teh-0 dan dua biji karipap panas. Memang menyelerakan tambahan pula sarapan dihidangkan di tepi pantai. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa cukup menyegarkan.
9 pagi : Sementara menanti peserta klinik luncur ombak mendaftar, penulis bersama beberapa rakan media mengambil peluang menjejakkan kaki di gigi air dengan pasir pantainya memutih dan halus.
Pantai Cherating masih dilindungi daripada pencemaran. Rakan media yang pertama kali berkunjung ke pantai ini mengambil kesempatan merakam gambar kerana teruja dengan pantainya yang bersih, pasirnya halus dan memutih walaupun sang mentari mula menampakkkan kehadirannya.
10.30 pagi : Sepuluh peserta klinik luncur ombak mula mengikuti kelas dengan penuh perhatian. Setiap patah perkataan yang diucap jurulatih disimpan kemas dalam ingatan. Meluncur ombak bagi mereka yang tidak berpengalaman, menjadi suatu misi yang sukar.
Sesi pertama merangkumi lapan peserta dengan empat jurulatih berpengalaman. Tumpuan diberi kepada perkara asas seperti persediaan mental dan fizikal, pemakanan, kesihatan, pengawalan pernafasan dan stamina.
Selama satu setengah jam mereka berlatih mendayung, berdiri atas papan luncur, meniarap dan pelbagai gaya yang tampak melucukan yang bakal dipraktikkan ketika meluncur di atas air. Lucu juga melihat mereka mendayung di darat!.
12.30 tengahari : Makan tengahari berlauk kari ayam, sayur campur dan ikan masin. Panas dan bahang mentari menyebabkan perut mudah lapar dan tekak kehausan. Sambil menikmati hidangan, mata penulis melilau jauh ke pesisir pantai melihat kanak-kanak bermain air sambil ditemani ahli keluarga.
1 petang : Penulis bersama rakan media menuju ke pantai untuk melihat latihan meluncur air. Sukar terutama untuk berdiri di atas papan luncur. Ada peserta langsung gagal beraksi kerana kesukaran seimbangkan badan untuk meluncur.
2.30 petang : Kembali ke bilik penginapan untuk solat dan merehatkan diri. Setengah jam kemudian, penulis bersama rakan media dibawa ke pusat kraftangan di Kampung Cherating Lama yang mengusahakan produk berasaskan daun mengkuang. Pelbagai jenis beg, fail, tas tangan, tikar dan cenderahati dihasilkan daripada daun mengekuang yang sudah diwarnakan dengan kombinasi rona menarik.
4.30 petang : Kembali ke tapak festival menyaksikan pelbagai aktiviti sampingan seperti sukan rakyat, pertandingan mewarna, bola sepak pantai, gerai pameran dan jualan cenderahati, pakaian dan makanan.
Antara permainan rakyat yang diadakan ialah terompah gergasi, boling kelapa, lari dalam guni dan tarik upih yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung dan penduduk tempatan.
5.20 petang : Usai solat Asar, penulis sekali lagi menuju ke pantai melihat peluncur profesional beraksi dengan skil dan kemahiran tersendiri. Mereka melakukan gerakan menarik mengikut gulungan ombak yang mencecah ketinggian lima meter sepanjang 800 meter menuju ke pantai. Cuaca redup membuatkan pengunjung makin ramai berkumpul di tepi pantai melihat kepakaran peluncur ‘berjalan atas air’.
7.30 malam : Selesai makan malam, penulis dan rakan media bersama pelancong menaiki dua bot menyusuri sungai menuju ke hutan paya bakau sambil mata melilau mencari kelip-kelip yang sering hinggap pada pokok ‘Barembang’ atau nama saintifiknya ‘Sonneratia Caseolaris’.
Jantina kelip-kelip mudah dibezakan melalui organ pencahaya yang terletak di bahagian abdomen. Kelip-kelip dewasa boleh hidup tanpa makan sehingga lebih kurang 30 hari. Makanan utama kelip-kelip adalah daun tumbuh-tumbuhan.
Malang sekali, kami tidak dibenarkan merakamkan gambar serangga dengan alasan tidak mahu ada cahaya memantul.
9.30 malam : Bergegas pulang untuk ke The Legend Resort bagi membuat liputan konsert gitaris terkenal yang juga bekas anggota kumpulan rock, Sweet Charity, Rosli Mohalim dengan tema ‘Rock Terus Rock : Nostalgia Sweet Charity’. Konsert ini adalah sebahagian daripada aktiviti festival luncur ombak.
9.50 malam : Konsert bermula. Hampir dua jam, Rosli memukau penonton dengan petikan gitar keramatnya ‘menggoda’ tetamu dengan gaya tersendiri. Lebih 500 peminat berusia antara 18 hingga 55 tahun yang memenuhi ruang legar dewan terpesona dengan aksi yang dipamerkan bersama tiga pemuzik iringan iaitu Haziq sebagai pemain drum, Yen bermain gitar bass dan anak tunggalnya Afiq sebagai pemain gitar utama.
Konsert malam itu juga menampilkan penyanyi jemputan Fatzlane yang juga vokalis utama kumpulan rock Pulau Pinang, Malaysia Online dan Zzati dari Jengka yang mendendangkan lagu-lagu nostagia Sweet Charity. Fatzalne memiliki suara mirip papa rock, Ramli Sarip manakala Zzati dengan gaya manja bagaikan ratu rock, Ella.
12 malam : Konsert berakhir dan penulis bersama rakan media kembali ke bilik penginapan masing-masing.
Ahad:
8.30 pagi : Penulis memilih sepiring mee hoon, teh-0 dan dua keping karipap untuk mengalas perut pada waktu pagi.
9.30 pagi : Pertandingan mewarna kanak-kanak dimulakan. Hampir 60 kanak-kanak mengambil bahagian mempamerkan bakat dengan pelbagai keletah dan ragam mewarnai lukisan masing-masing.
10 pagi : Sesi kedua klinik luncur ombak berlangsung. Seramai lapan peserta menyertai kelas yang dikendalikan jurulatih profesional dari Kuala Lumpur, Helmi Khalil.
Peserta bersemangat mempelajari teknik meluncur walaupun terpaksa melakukannya di bawah panahan sang mentari!
12.30 tengahari : Menikmati hidangan tengahari nasi minyak berlaukkan kurma ayam, acar dan ikan kering. Kami makan dengan penuh berselera.
2.30 petang : Penulis mengikuti program lawatan kerja Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Warisan, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif ke Pusat Penerangan dan Santuari Penyu (PPSP) Cherating berhampiran pusat percutian Kelab Mediterranean.
Penulis sempat merakam potret bersama anak-anak penyu yang baru berusia seminggu yang akan dilepaskan kembali ke laut.
Selain itu, PPSP juga menyediakan balai pameran dengan fokus utama kisah kehidupan haiwan yang semakin pupus itu dan bilik tayangan video untuk memberi maklumat kepada pengunjung mengenai fungsi dan tanggungjawab PPSP.
3.30 petang : Penulis kembali ke tapak karnival sambil meninjau pameran dan gerai jualan untuk mendapatkan cenderahati kenangan.
4.30 petang : Penulis menghadiri kelas luncur ombak yang dikhaskan untuk media. Penulis mengambil kesempatan mempelajari teknik meluncur walaupun takut. Selepas diberi penerangan penuh, kami dibawa ke tepi pantai untuk sesi latihan di air. Walaupun takut, setiap peserta perlu mencuba untuk meluncur. Satu kepuasan kepada penulis untuk meluncur walaupun tidak dapat berdiri sepenuhnya di atas papan luncur! Sangat mengecewakan.
6 petang : Majlis penutup dan penyampaian hadiah diadakan. Selain Shafik Fauzan, Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser (PKBF) Datuk Md Hanafiah Abdul Talib dan Pengarah Pejabat Pelancongan Malaysia Pahang, Idros Yahya turut menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Kanak-kanak antara yang paling gembira kerana menerima hadiah pensil warna dan buku lukisan melalui peraduan yang dianjurkan.
6.50 petang ; Program pelepasan 37 ekor anak penyu berusia tiga bulan sumbangan PPSP diadakan di pesisir pantai. Pelancong asing dan kanak-kanak paling teruja melakukan aktiviti pelepasan itu.
7.30 malam : Festival berakhir dan penulis kembali ke destinasi dengan pelbagai kenangan manis yang sukar dilupakan. Festival berjaya mencapai matlamat melahirkan lebih ramai peluncur untuk di ketengahkan ke pertandingan peringkat antarabangsa. Tidak mustahil suatu hari nanti Malaysia mampu melahirkan peluncur profesional bertaraf dunia.
Info
- Cherating terletak kira-kira 50 kilometer dari Kuantan
- Lokasi paling sesuai dan popular untuk sukan luncur ombak
- Peralihan monsun antara Disember hingga Mac
- Pertandingan diadakan antara Disember hingga Mac setiap tahun
- Perjalanan dari Kuala Lumpur mengambil masa tiga setengah jam melalui lebuh raya pantai timur.
- Dari Kuantan mengambil masa lebih kurang 40 minit.
- Penginapan antaranya asrama pengembara hingga hotel mewah bertaraf empat bintang.
Maklumat lanjut:
Tel : 09-5171111/1112.
Faks : 09 514 6900
Laman Web : www.pahangtourism.com.my
fivefilters.org/content-only/faq.php
Five Filters featured site: So, Why is Wikileaks a Good Thing Again?.
Source: Berita Harian








