Selangor kaji skop PBT kuat kuasa Enakmen Jenayah Syariah

Enakmen tersebut melarang orang Islam berkerja di premis menjual arak. — gambar fail
KUALA LUMPUR, 17 Jan — Kerajaan negeri Selangor akan membuat satu kajian bagi menentukan sama ada pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh menguatkuasakan undang-undang jenayah Syariah terhadap orang Islam yang bekerja di premis menjual alkohol.
Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, kajian itu akan melihat kesan pelaksanaan kepada orang Islam sekiranya undang-undang itu dikuatkuasakan.
“Kerajaan Selangor akan membuat kajian terperinci untuk menentukan sama ada PBT boleh melaksanakan undang-undang jenayah syariah dalam peraturan kecil atau syarat lesen.
“Kajian akan melihat kesan kepada umat Islam yang mungkin akan hilang punca pendapatan jika undang-undang jenayah syariah dilaksanakan.
“Angka yang melibatkan pekerja Islam dalam penjualan minuman keras tidak besar, jadi perkara ini boleh dikawal dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini sambil merujuk kepada kira-kira 170 premis yang menjual alkohol di Subang Jaya dengan hanya 13 peratus yang menggaji orang Islam.
Menurut Khalid, sementara menunggu kajian itu siap kerajaan negeri akan meneruskan rancangan untuk mewujudkan tabung khas untuk membantu pekerja beragama Islam yang meninggalkan pekerjaan di premis dan pusat hiburan menjual minuman keras.
“Sementara menunggu kajian terperinci disiapkan, Kerajaan Negeri akan meneruskan rancangan untuk mewujudkan tabung bersama Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk membantu orang Islam yang mahu meninggalkan pekerjaan itu.
“Selepas ini, semua undang-undang atau syarat tambahan yang melibatkan Undang-undang Jenayah Syariah perlu dirujuk kepada kerajaan negeri menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) atau Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) bagi tujuan penyeragaman,” katanya.
Sebelum ini Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) memutuskan untuk membatalkan lesen perniagaan permis yang melanggar Enakmen Jenayah Syariah Selangor, yang melarang umat Islam bekerja di premis-premis yang menjual alkohol.
Sebahagian Exco Kerajaan Negeri Selangor tidak bersetuju dengan larangan seumpama itu.
Exco bagi pihak berkuasa tempatan Ronnie Liu mengarahkan MPSJ agar membatalkan larangan itu.
Pada 14 Januari lalu, Khalid berkata, kerajaan negeri bercadang menubuhkan sebuah tabung khas untuk membantu pekerja beragama Islam yang meninggalkan pekerjaan di premis dan pusat hiburan menjual minuman keras.
Jelas Khalid, empat ahli exco negeri iaitu Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, Yaakob Sapari, Dr Halimah Ali dan Rodziah Ismail — diminta menubuhkan sebuah sekretariat yang akan mengadakan perjumpaan dengan LZS bagi membincangkan penubuhan tabung berkenaan.
Beliau berkata kerajaan negeri sedar kebanyakan orang Islam yang bekerja di tempat sedemikian membuat keputusan atas sebab ekonomi.
Katanya, kerajaan negeri menghormati pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang melarang umat Islam bekerja di premis berkenaan.
Source: The Malaysian Insider









