Si jelita yang terbuang

Posted on the November 20th, 2010 under Artis by Mami Juram

pix_gal0

Animasi berdasarkan cerita dongeng rakyat diangkat dalam bentuk tiga dimensi

KISAH dongeng gadis jelita yang berambut panjang dan tinggal bersama nenek kebayan di sebuah menara antara cerita pilihan kanak-kanak sejak dulu.

Watak Rapunzel jarang menjadi bualan berbeza dengan watak sezamannya seperti Snow White dan Cinderella. Walaupun cerita Rapunzel tidak gah seperti cerita dongeng lain, namun kehidupan watak ini jauh lebih gigih. Kehidupannya sejak bayi hingga meningkat dewasa tidak seperti remaja lain.



Rapunzel tidak pernah mengenali siapa diri dan keturunannya, namun lebih malang tidak mampu untuk berbuat apa-apa disebabkan terputus dengan dunia luar. Angan-angannya tinggi untuk mengecapi dunia sebenar di luar tetapi dihalang oleh Gothel iaitu nenek kebayan yang mengaku ibu kandungnya.

Sejak bayi hingga berusia 18 tahun, kehidupan Rapunzel hanya di atas menara, namun kehidupannya tidak menunjukkan tekanan hidup yang dihadapi. Di usia remaja, Rapunzel masih seceria remaja lain dan ada kalanya kecewa dengan Gothel.

Bayangkanlah apakah perasaan yang wujud sekiranya dia mengetahui yang dirinya adalah seorang puteri dan terpisah kasih sayang daripada ibu serta bapa kandungnya.
Perwatakan yang dilahirkan itu mampu mengalirkan air mata lebih lagi adegan pertemuan bersama ibu dan bapanya. Karektor Rapunzel juga kuat dengan pelbagai permainan emosi termasuklah ceria, kecewa, marah, sedih dan romantik.

Filem animasi yang ditayangkan sempena musim cuti sekolah ini dilihat sempurna dari segala aspek termasuklah jalan cerita, lagu, emosi dan karektor yang tidak terlalu sarat.

Jalan ceritanya tidak banyak menyimpang dan teratur melengkapkan dari satu plot ke plot yang lain. Bagi mereka yang pertama kali menonton kisah Rapunzel tidak sukar memahaminya kerana dimulai dengan pengenalan watak daripada pencerita.

Karektor Rapunzel yang pernah diilhamkan sebelum ini dari cerita klasik Jerman adalah seorang gadis jelita yang baik, bersopan dan tinggi penderia hidupnya, namun Rapunzel dilahirkan kembali ketika ini masih mengekalkan sifat yang sama tetapi dilihat lebih agresif dan berkeyakinan tinggi dalam menempuh cabaran di luar.

Walaupun Rapunzel (menggunakan suara Mandy Moore) tidak pernah mengenali persekitaran kehidupannya sejak kecil sehingga dia berusia 18 tahun, namun kali ini dia dipadankan dengan karektor baru yang juga menjadi temannya sejak kecil iaitu seekor sesumpah yang taat dengannya.

Karektor ini juga menarik dari segi kemunculannya biarpun tanpa dialog. Begitu juga dengan karektor kuda yang lincah dan sering menimbulkan masalah. Walaupun dia seekor kuda namun dia menganggap dirinya sebagai seekor anjing yang boleh menghidu di mana musuhnya berada.

Tidak lengkap setiap cerita tanpa elemen cinta, lebih lagi Rapunzel yang juga sebenarnya adalah puteri jelita. Pertemuan pertama kali Rapunzel bersama seorang perompak yang cuba melarikan diri dan menceroboh ke kediaman Rapunzel melahirkan putik-putik cinta.

Jejaka bernama Flynn Rider (Zachary Levi) sebenarnya bukanlah lelaki yang jahat tetapi terperangkap dengan tipu helah dua penjahat kembar.

Pertemuan pertama Rapunzel dan Flynn Rider sudah menonjolkan sifat keberanian Rapunzel. Biarpun selama ini tidak pernah mengenali lelaki tetapi sifat keberanian dan keterbukaannya adalah karektor yang baik.

Sifat keberanian dan keterbukaan yang cuba dipaparkan itu jugalah antara sifat dan kehidupan sebenar remaja hari ini.

Menariknya filem yang dihasilkan dengan teknik tiga dimensi ini penuh dengan babak melucukan biarpun tanpa dialog yang cuba dicipta.

Filem muzikal ini menyelitkan 11 lagu yang digubah kembali daripada lagu asalnya ciptaan Alan Menken dan lirik oleh Glenn Slater sekitar tahun 1960 dan digubah mengikut era kini.

Sinopsis

Rapunzel adalah puteri tunggal kepada pasangan diraja yang diculik oleh nenek kebayan bernama Gothel. Sejak kecil Rapunzel tinggi di kediaman Gothel yang terletak di atas sebuah menara yang tinggi. Dia tidak sebebas remaja lain kerana Gothel tidak pernah mengizinkan dia berhubungan dengan dunia luar.

Rapunzel tidak pernah mengenali siapakah dirinya yang sebenarnya dan hanya mengetahui bahawa Gothel adalah ibu kandungnya.

Sehinggalah dia berusia 18 tahun dan pertemuan dengan seorang jejaka yang tersalah memasuki menara yang didiaminya bernama Flynn Rider, Rapunzel mula mencurigai Gothel.

Dengan memiliki keistimewaan iaitu rambut yang panjang melebihi 50 meter dan mampu membantunya di masa kesulitan, Rapunzel akhirnya berjaya menumpaskan Gothel yang cuba berniat jahat sejak menculik dirinya ketika bayi.

Akhirnya dengan bantuan Flynn Rider dan seekor kuda, Rapunzel akhirnya dipertemukan dengan kedua ibu bapanya yang juga Raja di daerah yang didiaminya.

Filem: Rapunzel: A Tangled Tale
Terbitan: Walt Disney Pictures
Pengarah: Byron Howard dan Nathan Greno
Suara Karektor: Mandy Moore, Zachary Levi, Donna Murphy
Genre: Animasi
Durasi: 1 jam 20 minit
Tarikh Tayangan: 25 November 2010


Source: Berita Harian

Related News:

Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,

  • amalina

    terbaekkk.!!!

  • Cuteaqilah25

    okex