‘Tolong bina bonggol’
KEPONG: Penduduk Taman Desa Aman Puri 2 tidak mahu kemalangan berulang lagi di kawasan perumahan mereka berikutan wujudnya simpang maut yang tidak mempunyai papan tanda dan garisan putih pembahagi jalan.
Mereka mahu laluan masuk ke jalan utama, Jalan Jinjang Damai dibina bonggol bagi memastikan pemandu memperlahankan kenderaan setiap kali membelok sama ada ke kiri atau kanan jalan.
Penduduk, Yap Cheng Hooi, 65, berkata, sikap pemandu yang suka memandu laju terutama pada waktu malam menyebabkan penduduk di sepanjang jalan itu diancam bahaya.
“Minggu lalu tiga kemalangan berlaku membabitkan kenderaan penduduk yang tinggal di sepanjang jalan ini. Mereka menanggung kerugian kerana kereta yang diletakkan di tepi jalan menjadi mangsa pemandu liar terbabit,” katanya.
Penduduk, Chan Choon Kong, 31, berkata, keluarganya sentiasa bimbang kerana kenderaan lalu lalang di hadapan rumahnya. “Saya dan keluarga bimbang jika kenderaan terutama lori terlajak ke rumah kerana kediaman kami terletak berhadapan selekoh itu.
“Sebelum ini, kereta saya remuk dilanggar kereta lain yang hilang kawalan ketika melalui selekoh ini. Pemandu juga mendakwa dia menyangka jalan itu berselekoh bukan simpang tiga yang mempunyai dua lorong,” katanya ketika ditemui dalam lawatan kerja bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Sementara itu, Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Kepong, Lau Hoi Keong berkata, selain permohonan pembinaan bonggol di jalan berkenaan, pihaknya juga mahu keadaan jalan di kawasan itu dinaik taraf dan dibaiki segera bagi kemudahan penduduk.
“Sudah sekian lama penduduk berdepan dengan masalah kerosakan jalan raya dan risiko kemalangan kerana tiada pemantauan daripada pihak berkuasa. Kita jemput wakil DBKL datang dan melihat sendiri keadaannya dan berharap agar mempercepatkan permohonan ini,” katanya.
service — if this is your content and you’re reading it on someone else’s site, please read our FAQ page at
Five Filters featured article: Collateral Damage – WikiLeaks In The Crosshairs.
Source: Harian Metro









