Zaman seksi sudah dilupakan
Hanez Suraya
IMEJ seksi bukan lagi taruhan buat pelakon berusia 27 tahun ini. Faktor usia yang semakin matang membuatkan Hanez Suraya lebih berhati-hati dalam penampilannya supaya tidak lagi dikatakan seksi.
Dia yang ditemui ketika menjayakan sidang media 3 Janji, Sri Pentas TV3, Bandar Utama, menjelaskan sebelum ini dirinya masih muda dan berani berpakaian mengikut peredaran masa. Namun bukanlah niatnya untuk menarik perhatian mahupun mencari populariti murahan.
Katanya, sekarang dirinya lebih matang dan dewasa dalam perihal ini dan apa yang dilakukan difikir seelok-eloknya terlebih dulu.
“Dulu saya berpakaian seksi bukanlah untuk mencuri perhatian media mahupun orang ramai. Saya hanya pakai apa yang boleh saya pakai, bukannya saya pakai untuk menonjolkan diri sendiri di persada seni tempatan. Saya akui dulu saya berani tapi kini saya lebih matang,” ujarnya yang bersyukur walaupun namanya kurang popular dia tetap tidak putus dengan tawaran lakonan.
Sebelum drama 3 Janji, wajahnya banyak dilihat menghiasi drama Bunga April, Ariana Mikhail , Ezora dan banyak lagi. Biarpun hanya menjayakan watak pembantu, Hanez tetap berpuas hati dan menganggap itu suatu kejayaan dalam karier seninya.
“Apa yang saya kejar adalah kualiti, di mana saya mahu orang kenal kerana bakat dan bukannya rupa. Biarlah orang kata umur 30 tahun baru nak popular, saya tidak kisah pada semua itu.
“Sekarang pun nama saya sudah mula dikenali di kalangan pengarah, itu pun saya sudah cukup hargai dan setulusnya saya tidak mengejar untuk menjadi popular.
“Biarlah saya mula dari bawah, dan perlahan-lahan mendaki ke atas. Melihat kepada peluang lakonan yang ditawarkan, saya bersyukur dan ada juga yang kenal saya dari lakonan saya yang lepas,” tambahnya.
Wataknya, Mimi dalam Bunga April antara yang paling memberi impak dalam karier seninya. Dia pernah ditegur supaya tidak berkelakuan jahat di dalam dunia realiti seperti watak Mimi yang dibawanya itu.
Dari situ dia boleh melihat mutu lakonan semakin bertambah baik dari semasa ke semasa. Oleh itu, dia mahu terus berusaha supaya mendapat lebih banyak watak yang mencabar kredibiliti lakonannya.
Demi minat yang mendalam, kalau boleh dia mahu masanya dipenuhi dengan komitmen lakonan. Akan datang, Hanez akan muncul dengan telefilem berjudul Bimbo dan drama bersiri 13 episod, Hidayah Cintaku.
This entry passed through the Full-Text RSS service — if this is your content and you’re reading it on someone else’s site, please read the FAQ at fivefilters.org/content-only/faq.php#publishers. Five Filters recommends: Donate to Wikileaks.
Source: Berita Harian










